Tuesday, December 27, 2011

Filem Tidak Ditapis: Kerajaan Malaysia Jangan Bersikap Lepas Tangan

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam telah menyatakan bahawa Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak lagi akan menapis filem sebelum ditayangkan, tetapi ia diserahkan sepenuhnya kapada pengarah dan penerbit filem itu sendiri. Hal ini berdasarkan kenyataan beliau di akhbar Sinar pada 22 Disember yang lalu. Dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan bahawa langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara. Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.


Respon PMUKM

PMUKM melalui Pengerusi Biro Sukan dan Kebudayaannya, Muhammad Harith menyifatkan tindakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tidak lagi menapis filem-filem yang ingin ditayangkan adalah tidak wajar dan tidak tepat pada kondisi akhlak anak-anak muda yang membinmbangkan ketika ini.

“Saya mewakili pihak PMUKM dan warga UKM amnya, secara totalnya menolak langkah terbaru daripada LPF untuk tidak menapis filem-filem baru dan kami mendesak supaya LPF menarik balik langkah tersebut bagi mengelakkan pengaruh-pengaruh negatif daripada terus menular. Apa jaminan daripada LPF bahawa pengarah dan penerbit filem akan mempunyai sikap bertanggungawab dalam apa yang telah dipertontonkan? Sedangkan asbab utama mereka hanya meraih keuntungan daripada filem yang ditayangkan. Tatkala moral dan akhlak masyarakat terutama anak muda  yang semakin kritikal, keputusan ini seolah-olah mencurahkan minyak kedalam api dan kerajaan Malaysia amnya tidak boleh bersikap lepas tangan tentang perkara ini” katanya

Beliau juga berkata, pihak PMUKM melihat kesan jangka masa panjang terhadap masyarakat terutamanya aspek nilai kehidupan murni, moral dan keagamaan. Sehubungan itu, pihak PMUKM sekali lagi menyatakan pendirian supaya keputusan ini dikaji semula oleh pihak LPF dan Kerajaan Malaysia amnya bagi melahirkan bangsa Malaysia yang lebih baik pada masa akan datang.

“Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti”

sumber: http://mpmharith.blogspot.com

Friday, December 2, 2011

Didiklah Jiwa Agar Sentiasa Ikhlas dan Redha




“Allah maha berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 1-2)

Menyingkap maksud firman Allah itu, manusia sentiasa akan diuji dengan kebaikan dan kesulitan. Segala perkara atau peristiwa berlaku dengan izin dan kehendak Allah. Bagi Allah segala-galanya adalah kebaikan untuk hambanya.


Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau buruk kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar.” (Maksud al-Hadis)
Setiap detik kehidupan kita perlu meyakini bahawa kita berada dalam ujian Allah sehingga roh bercerai daripada badan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah maha mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta,” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
 
Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara dan peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat.

Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat melihat melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman. Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati.” (Surah al-Haysr, ayat 2)
Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana hujan yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan bagi tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah yang akan menyuburkan pokok serta tanaman mereka.


Begitulah kepelbagaian ragam dan persepsi dalam kehidupan. Segala penentuan Allah diterima dengan persepsi berbeza antara satu sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa perkara seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang.


Orang beriman sentiasa reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang kerana mereka berfikir secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap peristiwa.


Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan hidup, bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah.

Panduan berikut boleh dijadikan pedoman untuk mendidik diri menerima sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati.


Bersyukur kepada Allah dan membilang nikmatnya


Kita beriman bahawa Allah tetap memberi nikmat di dunia kepada semua hamba-Nya. Apabila kita mendapat nikmatnya kita bersyukur dan mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Allah sudah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin.” – (Surah Luqman, ayat 20)
“Dan jika kalian menghitung nikmat Allah nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya.” (Surah Ibrahim, ayat 34)
Nabi Sulaiman yang dikurniakan kerajaan dan kekayaan berkata:
“Ini termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur nikmat.” (Surah an-Namlu, ayat 20)

Syukur bukan setakat mengucapkannya tetapi kita perlu zahirkan kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk perbuatan


Musibah menghapuskan dosa


Kita menerima musibah dengan positif untuk menyedarkan kita supaya menilai kembali tingkah laku. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Musibah dapat melenyapkan dosa yang dilakukan .

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan dosanya.” (Maksud al-Hadis)
Bersabar tanda kemenangan

Allah mendidik kita supaya menerima sesuatu dengan reda dan sabar kerana Allah bersama dengan orang yang sabar. Orang yang bersabar akan mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat.” (Surah al-Hadid, ayat 23)

 
Berdoa dan memohon pertolongan hanya kepada Allah


Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah ketika senang nescaya Allah akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan jadikan berdoa para nabi sebagai panduan.


Bayangkan bagaimana pasrah dan khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting. Kita juga tahu Allah memakbulkan doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa memohon pertolongan Allah ketika dibakar dalam unggun api yang marak menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa yang cemas ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus dalam perut ikan.


Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap perkara akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup yang penuh pancaroba.Wallahualam



sumber: iluvislam.com
Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates