Monday, June 27, 2011

BERSIHkan hatimu diri...


Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba.
Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak.
Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan.
Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.
Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa.
Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah SWT sedang menduga.
Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya.
Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.
Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadangkala membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadangkala kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis oleh-Nya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuan-Nya? Kadangkala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapan-Nya.
'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '
Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?
Subhanallah. Maha suci Allah!
Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayat-Nya.
Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.

Kenapa semua ini terjadi ??


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)


Berimankah aku??

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta?" (Al-Ankabut : 2-3)



Kepada siapa harus aku berharap?


"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (At-Taubah : 129)


Moga kita menjadi hamba yang redha dan diredhai-Nya. Dan perkara yang paling penting ingin aku ungkapkan ialah......JOM BERSIH!!! :))






Thursday, June 2, 2011

Seks, Dadah & Alkohol: Gaya Hidup Baru Masyarakat Malaysia

Mengecapi arus kemodenan semasa dan diiringi perubahan gaya hidup yang kian ‘sofistikated’ tidak memungkinkan masyarakat untuk terus berada di takuk lama dalam kehidupan seharian mereka. Kesedaran terhadap keadaan semasa dan sifat keterbukaan terhadap perkara-perkara yang sebelum ini dipandang asing, dianggap sebagai suatu kemajuan yang perlu diwujudkan dalam diri setiap individu. Namun begitu, perubahan fasa yang bagaimana harus dijadikan panduan seantero masyarakat Malaysia?

Menyentuh mengenai gejala sosial yang kian sumbang dek kerana mahukan ‘sesuatu yang baru’ dan bersikap ‘open minded’ maka terhasillah kepercayaan bahawa perkara-perkara yang sebelum ini dianggap janggal perlu diterima pakai oleh kita semua. Tak perlu dilihat jauh-jauh untuk mengenalpasti penyakit yang sedang melanda masyarakat kita hari ini kerana sedar mahupun tidak, seks, dadah dan alkohol semakin hari semakin rancak mendominasi ruang lingkup pemikiran sekaligus meraih perhatian masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa!




Berbekalkan tiga ‘perkara asas’ ini sahaja sudah cukup untuk memporak perandakan kerukunan yang sedia ada lantas mengheret kepada permasalahan yang lebih serius dalam masyarakat. Gaya hidup moden atau up-to-date menjadikan kita lebih terbuka untuk berbicara tentang seks sekaligus mengaplikasikannya ke dalam realiti kehidupan sebenar. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan bilamana perkataan dan perlakuan seks itu dilakukan oleh mereka yang masih berada dibangku sekolah! Buktinya, berapa ramai anak gadis dan anak teruna yang terjebak dengan seks bebas dan bertukar-tukar pasangan dek hasutan hawa nafsu dan didorongi sifat suka sama suka! Bila seks dah jadi perkara biasa, maka yang lain-lain ‘lagi tok sah kata!’

Berbicara pula tentang dadah, ia boleh dikategorikan sebagai isu lapuk yang takkan ada penghujung. Musuh nombor satu negara ini dilihat sebagai ancaman utama yang mengheret kepada cabang masalah sosial yang lain. Isu penyalahgunaan dadah telah memerangkap banyak manusia ke sisi hitam laluan hidup mereka. Bermula dengan suka-suka atau alasan mahu membebaskan diri daripada belenggu ‘problema’ yang dihadapi akhirnya telah menjadikan individu-individu ini terlibat dengan tahap ketagihan yang serius sehingga digelar ‘Mat Pet’ atau ‘Sampah Masyarakat’!

Seterusnya, minuman alkohol mungkin dianggap perkara paling remeh dan terlalu biasa serta tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat secara kasar. Sebagai contoh, gambar panas atau filem panas artis yang berpesta sakan dengan botol minuman alkohol berlambak sana sini sekaligus telah membuktikan keterbukaan mereka terhadap gaya hidup masa kini.  Persoalannya, apa perlunya menunjuk-nunjuk perilaku yang sebegitu rupa? Apa yang cuba disampaikan kepada masyarakat? Adakah mabuk-mabuk atau berada dalam keadaan separuh sedar itu perlu dijadikan fenomena semasa? Sebetulnya, bukan artis sahaja yang terdedah dengan kegiatan yang kurang sihat ini. Orang biasa-biasa lagi berlambak, cuma sebab mereka tak punya tiket sebagai artis maka terlepaslah mereka daripada cakap-cakap negatif!




Ada juga yang berpendapat bahawa mereka yang mengasingkan diri daripada tiga perkara ini sebagai individu yang kolot dan berlagak baik. Hakikatnya tanpa mereka sedari secara perlahan-lahan tiga perkara utama ini akan ‘memakan diri’. Harus diingat bahawa bertukar pasangan sesuka hati, ambil pil dadah untuk menghilangkan tekanan jiwa dan meneguk minuman alkohol demi kepuasan hati, hanyalah keseronokan sementara dan jalan singkat untuk ke ‘syurga’ dunia!

Kepada yang dah dewasa, anda boleh fikir sendiri rasional dan buruk baiknya perkara-perkara di atas. Namun bagi mereka yang masih setahun jagung, bimbingan dan nasihat individu tertentu amatlah digalakkkan. Pihak yang bertanggungjawab tak kiralah, kerajaan ke, ibu bapa ke, guru ke, haruslah bertindak dan mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas kepada berlakunya pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan ketagih seks, dadah dan alkohol.

Bukan persoalan siapa jahat dan siapa baik yang harus jadi pertikaian, namun sejauh mana kita menyedari dan meletakkan diri di laluan sebenar dalam kehidupan. Tak kiralah kita datang daripada keluarga yang punya didikan agama yang kukuh atau tidak kerana apa yang menjadi pokok pangkalnya ialah diri kita sendiri.  Dasar langit terbuka dan kemajuan negara barat memang wajar kita teladani, namun bukan serba serbi harus dikuti. akhir kata..

PASAKKAN  HATIMU KE JALAN YANG DIREDHAINYA..........




Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates