Sunday, November 27, 2011

Bukan Sekadar Pindah



Di sebaliknya terselit peristiwa suka dan duka. Perjalanan seorang manusia agung menempuh jalan dakwah penuh duri bersama hati sahabat-sahabat yang setia, hati-hati yang tidak gentar kepada selain Allah, jasad-jasad yang tidak ketar mendepani musuh.

Ya Allah, andai aku dilahirkan pada saat dan zaman itu, adakah aku mampu sekental mereka? Atau aku langsung berpaling ke arah kekufuran?? Maha Suci Allah, aku dilahirkan di sini, pada waktu dan ketika ini. Aku dilahirkan pada akhir zaman yang jalan dakwahnya tidak seperit dan sesakit dulu. Kerana Allah tahu kemampuanku. Hijrah mereka hijrah teragung, penuh keazaman dan tawakal kepada Allah.

Lantas aku teringat, penyiksaan yang mereka lalui tidak sedikit pun menyalakan api dendam dan kebencian pada jiwa Rasulullah s.a.w terhadap orang-orang yang pernah memusuhi baginda. Dalam peristiwa Fathul Makkah, baginda Rasulullah adalah Duta Keamanan. Kata baginda sebelum memasuki Kota Makkah,

“Barangsiapa memasuki rumah Abi Sufian maka ia aman , barangsiapa memasuki al Kaabah maka ia aman , barangsiapa memasuki Masjidil haram maka ia aman , barangsiapa memasuki rumah Hakim ibn Hizam maka ia aman dan barangsiapa mengunci pintu rumahnya maka ia aman.”

Baginda menawarkan keamanan hatta kepada manusia-manusia yang pada satu ketika pernah memulaukan dan mengusir baginda dan pengikutnya keluar dari Makkah, kota kecintaan baginda. Besarnya kemaafan baginda.

Aku berfikir sejenak. Andai Rasulullah hadir menjenguk umatnya pada akhir zaman, ke mana mahu ku sorokkan raut mukaku? Kerana pada zaman ini, aku menyaksikan keamanan yang makin hilang, kebencian yang makin menyala, persaudaraan yang makin jauh hampir tiada makna. Ke mana pergi ad-Din dalam jiwa umat Muhammad? Dan aku, berada di tengah-tengah golongan itu, terhimpit dengan rasa malu dan hiba.



Hijrah bukan sekadar sambutan, bukan sekadar berpindah, dan bukan sekadar tahun baru dengan azam yang baru. Ianya lebih dari itu.

Aku sentiasa mengimpikan suatu penghijrahan umat Islam yang entah bila akan berlaku. Suatu perubahan yang bakal memaksimumkan kekuatan ummah. Iaitu dengan bersatunya seluruh Muslim membina dunia yang baru, mencipta sejarah yang baru. Wallahualam.

Saturday, November 19, 2011

Kita Merantau dan DiPantau

Jauh sekali kita berjalan, mencari harapan cahaya yang sering dinanti-nanti. Dan apabila ia semakin lambat untuk dikecapi, kita merasa nasib kita tidak adil. Merungut keseorangan sambil menekan-nekan keyboard untuk diluahkan ke dalam alam dunia facebook tanpa kita menghiraukan sedikit pun tentang asal usul kejadian seorang hamba yang bertakwa.

Aku hari ini ingin membawa satu kisah yang sering terjadi acap kali dalam kehidupan seorang hamba Allah.



Setiap hari, hamba Allah ini yang sangat taat pada perintah Tuhannya selalu berdoa pagi dan petang, meminta sesuatu yang sangat diharapkan dalam kehidupannya ketika merantau. Beliau berdoa agar Allah memakbulkan segala permintaanya..

Hari demi hari, masa terus berlalu meninggalkan kisah hari-hari yang berlaku bertahun lamanya..Lantas, hamba Allah ini terasa sangat bersedih..Namun, beliau tidak berputus asa untuk sentiasa berdoa kerana dia yakin bahawa Allah akan senantiasa memperkenankan doa hamba-hambaNya..

Pada satu saat ketika beliau sedang duduk berzikir di dalam masjid, datang seorang sahabat karibnya yang datang untuk solat dan berdoa agar Allah memperkenankan permintaan terbarunya.. Selang beberapa hari kemudian, sahabat karibnya itu mendapat apa yang dihajatkan. Hamba Allah yang taat ini merasa sangat hairan, mengapa sahabatnya yang selalu ponteng solat dan jarang mengikuti apa yang diajar dalam Islam tiba-tiba mendapat apa yang dihajati.

Keajaiban dan kehairanan ini membuatkan hati hamba Allah ini tertarik untuk berjumpa dengan seorang hamba Allah yang alim lalu beliau menceritakan segala isi hatinya kepada orang alim ini.

Dengan bentukan senyuman yang mengukir di wajah orang alim ini, dia bertanya kepada hamba yang taat ini tentang satu persoalan yang sangat ringkas.

"Wahai saudaraku, apakah yang kamu akan lakukan sekiranya datang kepadamu seorang pemuzik jalanan yang suaranya tidak seberapa merdu dan bernyanyi dihadapan rumahmu?"

Lalu, hamba yang taat ini menjawab, " sudah tentu saya akan menyuruh dia berhenti bernyanyi dan memberikan RM 1 serta minta segera beredar ke tempat lain."

"Bagaimana pula sekiranya seorang pemuzik jalanan datang kerumah mu yang mempunyai suara yang merdu untuk meminta derma?" balas orang alim pula.

" Sudah tentu juga saya akan suruh dia menyanyi lebih banyak lagu lagi untuk menghiburkan hati saya, malah saya sanggup memberinya RM50 sebagai balasan," jawap hamba yang taat itu.

Kemudian, orang alim ini menepuk-nepuk dibahunya sambil berkata, " begitu juga dengan kehidupan kita yang merantau dan dipantau. Jika hambaNya berdoa dengan sambil lewa dan ditambah pula tidak taat kepadaNya, sudah tentu Dia tidak mahu mendengar rintihan hambaNya terlalu lama dan terus Dia makbulkan. Tetapi apabila datang seorang hambaNya yang taat meminta doa dengan sepenuh harapan dan diiringi dengan ibadah yang ikhlas kerana cintanya hanya kepada Allah, sudah tentu Dia mahu mendengar suara hambaNya selalu dan lebih lama lagi sebelum Dia memberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang hambaNya hajati."

Hamba yang taat ini tersentak dengan jawapan yang diberikan oleh orang alim itu tadi lantas beliau cepat-cepat beristighfar memohon ampun dan maaf kerana telah berprasangka kepada Tuhannya..


Allah sangat dekat kepada hamba-hambaNya yang taat kepadaNya.


Sunday, November 6, 2011

Seksualiti Merdeka: Perlunya Tafsiran Yang Tepat Soal Hak Asasi dan Kebebasan


Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar petang Khamis yang lalu mengumumkan semua aktiviti berkaitan dengan festival berkenaan yang bakal dilancar oleh bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan pada 9 November ini diharamkan. Bercakap dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur beliau mengarahkan penganjur menghentikan serta merta semua program mereka yang berkaitan dengannya atau berdepan tindakan polis.


Saya sangat bersetuju dengan tindakan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Malaysian terutama pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) bagi mengharamkan penganjuran Seksualiti Merdeka ini. Setelah bantahan daripada NGO-NGO, Jabatan Agama dan majoriti rakyat Malaysia terutamanya, adalah wajar bagi festival ini tidak diteruskan. Penulisan ini ingin saya bawakan hujah dan pandangan mengenai bantahan terhadap festival ini:


1. Antara hujah yang dikemukakan oleh penganjur Seksualiti Merdeka ini adalah mereka merujuk artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan berhimpun, hak bersuara dan sebagainya. Tetapi harus kita lihat pada limitasi agama dan sensitiviti rakyat Malaysia terutama masyarkat melayu amnya tentang budaya lesbian, gay dan perkara songsang yang lain.


2. Perkara lain yang dibangkitkan adalah mereka daripada golongan yang minority dimana suara mereka harus diberikan perhatian oleh umum dan kerajaan khasnya. Namun harus kita fikirkan bahawasanya adakah kita mahukan golongan yang minority ini menjadi golongan yang majority?dan jika ia menjadi reality, adakah ia akan membawa manfaat yang baik dan penyelesaian masalah social yang semakin meruncing dengan kebebasan ini? Fikir-fikirkan…


3. Islam juga mengawal kebebasan seksual bagi menjaga kehormatan keturunan dan ketamadunan manusiawi. Kisah umat Nabi Lut a.s yang diturunkan Allah bala akibat perbuatan songsang mereka boleh dijadikan peringatan untuk kita umat akhir zaman ini seperti apa yang disebut dalam hadis “Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, dia berkata bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Ertinya : Allah melaknat siapa saja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (beliau mengulanginya sebanyak tiga kali)” [HR Nasa'i dalam As-Sunan Al-Kubra IV/322 No. 7337]”


4. Ini bukan soal Ambiga. Ini bukan soal Marina Mahathir. Kita perlu sedar bahawa rakyat Malaysia menyokong BERSIH 2.0 bukan kerana dua individu ini tetapi tuntutan yang diperjuangkan oleh BERSIH 2.0 untuk pilihan raya yang adil dan telus. Tetapi jika persoalan dalam situasi ini yang membawakan mudarat yang besar kepada generasi Malaysia dan umat Islam khasnya, mengapa harus kita sokong? Bukan siapa yang menjadi persoalannya, tetapi agenda yang patut dipersoalkan.


5. Saya bagi satu analogi mudah jika hujah hak asasi dan kebebasan yang penganjur tekankan. Jika perogol ingin merogol seorang perempuan, adakah hujah hak asasi dan kebebasan “menguruskan” nafsu boleh dijadikan asbab untuk melakukan perkara tersebut(merogol)?sama juga denga pencuri, perasuah dan sebagainya. Saya melihat penganjur seolah-olah membuat tafsiran dan kefahaman sendiri mengenai hak asasi dan kebebasan yang mereka pertahankan.


Justeru itu, penafsiran berkaitan hak asasi dan kebebasan yang betul adalah sangat perlu bagi mengelakkan isu seperti ini berlaku. Seperti kata peribahasa “sudah terantuk baru terngadah”, sudah menjadi barah baru hendak diubati maka ia sudah terlambat. Akhir kata, kembalilah kepada Islam dan laksanakanlah hukum-hukum yang terdapat didalamnya. Wallahualam….


Sunday, October 30, 2011

Jalan Ini, Jalan ku......

dan ingatlah (Wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, ataumengusirmu. mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik Yang menggagalkan tipu daya( al-anfal:30)


jalan ini...jalan ini perlu diteruskan kerana perjuangan pada jalan ini terlalu jauh dan memakan masa yang panjang...

jalan ini...entah dimana pengakhiranya untuk kita...futur atau mati syahid...

jalan ini...mehnah dan tribulasi melingkari urat pernafasan gerakan...merentap nadi kebebasan diri..namun ia bakal menjadi mahar terbesar kala menemui Allah azzawajalla...

jalan ini...penggabungan semangat dan keimanan menjadi menjadi teras jalan ini...batu dan air seperti al-fateh menggungkapkan keazamannya yang kukuh dan lembut dalam memohon ampun kepada Tuhannya....

jalan ini...jalan yang tidak pernah dibiarkan diterjah oleh musuh tanpa pembelaan daripada pencintanya di sepanang zaman...semakin dihimpit,semakkin ramai tampil membela...walaupun terpaksa membayar dengan harga yang mahal....dan jalan ini adalah jalanku!


ingin aku kongsikan kata seorang sahabat...

Sebagai seorang Muslim, kita punya arah, kita punya tujuan, kita punya kompas, kita punya panduan lengkap yang di turunkan kepada kita. Tetapi, pernahkah kita terfikir akan nasib sahabat-sahabat yang tidak lagi disentuhi nikmat iman dan islam? Agaknya, apakah pendulum atau momentum yang menggerakkan roh dan jasad mereka untuk terus melangkah? melihat dan mentafsir kehidupan ini hanya berpaksi dan hanya berlimitasikan kehidupan dunia.


justeru wahai penggerak jalan ini...umat menantikan kita...melepaskan rasa kebergantungan kepada thaghut dan jahiliah moden..tuntas kebergantungan pada Allah...usah hanya bergegar di alam maya tetapi bacul di alam realiti...janganlah gentar berkelana dialam abadi..nun disana fajar sedang memancar......



Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur,di atas tulang-tulangku ini,yang hancur luluh,nyalakanlah obor buat umat ini,dan...teruskan perjalanan ke gerbang jaya
                                 
                                                                           Assyahid Sayyid Qutb




Saturday, October 22, 2011

Karnival Ilmu Anak Muda 2011(KAMU 11) bersama HIMPUN

Wednesday, August 17, 2011

UKM Konvo Lerun MTB Mini Jamboree


Monday, June 27, 2011

BERSIHkan hatimu diri...


Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba.
Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak.
Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan.
Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.
Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa.
Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah SWT sedang menduga.
Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya.
Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.
Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadangkala membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadangkala kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis oleh-Nya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuan-Nya? Kadangkala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapan-Nya.
'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '
Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?
Subhanallah. Maha suci Allah!
Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayat-Nya.
Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.

Kenapa semua ini terjadi ??


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)


Berimankah aku??

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta?" (Al-Ankabut : 2-3)



Kepada siapa harus aku berharap?


"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (At-Taubah : 129)


Moga kita menjadi hamba yang redha dan diredhai-Nya. Dan perkara yang paling penting ingin aku ungkapkan ialah......JOM BERSIH!!! :))






Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates