Sunday, November 27, 2011

Bukan Sekadar Pindah



Di sebaliknya terselit peristiwa suka dan duka. Perjalanan seorang manusia agung menempuh jalan dakwah penuh duri bersama hati sahabat-sahabat yang setia, hati-hati yang tidak gentar kepada selain Allah, jasad-jasad yang tidak ketar mendepani musuh.

Ya Allah, andai aku dilahirkan pada saat dan zaman itu, adakah aku mampu sekental mereka? Atau aku langsung berpaling ke arah kekufuran?? Maha Suci Allah, aku dilahirkan di sini, pada waktu dan ketika ini. Aku dilahirkan pada akhir zaman yang jalan dakwahnya tidak seperit dan sesakit dulu. Kerana Allah tahu kemampuanku. Hijrah mereka hijrah teragung, penuh keazaman dan tawakal kepada Allah.

Lantas aku teringat, penyiksaan yang mereka lalui tidak sedikit pun menyalakan api dendam dan kebencian pada jiwa Rasulullah s.a.w terhadap orang-orang yang pernah memusuhi baginda. Dalam peristiwa Fathul Makkah, baginda Rasulullah adalah Duta Keamanan. Kata baginda sebelum memasuki Kota Makkah,

“Barangsiapa memasuki rumah Abi Sufian maka ia aman , barangsiapa memasuki al Kaabah maka ia aman , barangsiapa memasuki Masjidil haram maka ia aman , barangsiapa memasuki rumah Hakim ibn Hizam maka ia aman dan barangsiapa mengunci pintu rumahnya maka ia aman.”

Baginda menawarkan keamanan hatta kepada manusia-manusia yang pada satu ketika pernah memulaukan dan mengusir baginda dan pengikutnya keluar dari Makkah, kota kecintaan baginda. Besarnya kemaafan baginda.

Aku berfikir sejenak. Andai Rasulullah hadir menjenguk umatnya pada akhir zaman, ke mana mahu ku sorokkan raut mukaku? Kerana pada zaman ini, aku menyaksikan keamanan yang makin hilang, kebencian yang makin menyala, persaudaraan yang makin jauh hampir tiada makna. Ke mana pergi ad-Din dalam jiwa umat Muhammad? Dan aku, berada di tengah-tengah golongan itu, terhimpit dengan rasa malu dan hiba.



Hijrah bukan sekadar sambutan, bukan sekadar berpindah, dan bukan sekadar tahun baru dengan azam yang baru. Ianya lebih dari itu.

Aku sentiasa mengimpikan suatu penghijrahan umat Islam yang entah bila akan berlaku. Suatu perubahan yang bakal memaksimumkan kekuatan ummah. Iaitu dengan bersatunya seluruh Muslim membina dunia yang baru, mencipta sejarah yang baru. Wallahualam.

1 comments:

Anonymous said...

mabruk! Blog yang sangat menarik. Semoga penulisan akhi ini menjadi sebahagian daripada butir mutiara dakwan di jalan mengegakkan agama Allah SWT..Aminn

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates