Alhamdulillah syukur padaMU ya Rabb kerana aku masih diberikan peluang olehMU untuk terus menarik sebanyak mungkin gas oksigen ciptaanMu. Meskipun diri ini sering alpa dan lalai. Dosa yang tidak terhitung banyaknya, janji taubat yang sering aku mungkiri tapi Kau tetap memberikan aku peluang kehidupan yang penuh dengan limpahan rahmatMU.
Hari ini aku berpeluang untuk pulang ke rumah di Negeri Sembilan. Tidak tahu kenapa diri ini ditarik-tarik untuk pulang kerumah sejak 2 hari yang lepas. Namun atas tanggungjawab dan komitmen yang lain, aku biarkan saja. Tetapi hari ini lepas saja solat subuh, aku terus berkemas untuk pulang ke rumah. Pergerakan yang tidak dijangka. Dan dengan bantuan “kuda”ku, aku redah highway PLUS sepanjang 35km untuk pulang ke rumah. Ternyata kepulangan aku ke rumah mengejutkan ibu bapa ku tetapi disambut dengan senyuman yang sangat manis. Ahhh!!senyuman itu. Senyuman yang mampu menghilangkan keletihan aku menunggang “kuda”ku. Terus ditanya oleh abahku “ Dari mana? Dah makan ke belum??”. Hanya gelengan aku menjawabnya. Ibuku tanpa lengah menyediakan makanan untuk anaknya ini. Memang tidak dapat disembunyikan riak gembira diwajah mereka. Bahagia! Perkataan yang mampu aku ungkapkan.Terasa sangat-sangat tenang bila bersama dengan mereka.
kasih sayang hingga ke syurga
Namun dalam kebahagiaan itu, kadang-kadang aku terfikir adakah aku MAMPU untuk melakukan pada mereka dengan segala apa yang mereka telah lakukan kepadaku sepanjang hidupku. Ibuku, melahirkan diriku. Abahku, mengalunkan azan ditelingaku supaya perkataan pertama menjengah telingaku adalah nama ALLAH sang pencipta alam. Cukup sekadar 2 perkara tersebut. Tidak termasuk makan minum,perbelanjaan harian dan didikan yang mereka berikan kepada diriku. Tanpa kenal jemu melayan kerenahku yang kadang-kadang melampaui batas keadaan. Namun tidak sekali mereka menyisihkan diri ini. Persoalannya, adakah aku mampu untuk membalas segala-galanya?TIDAK. memang tidak terdaya dan mampu untuk aku membalasnya. Mana kan tidak, bila sibuk dengan tugasan harian di university, sering aku lupa akan mereka. Bila ditegur, mudah sekali aku darah muda ini naik. Satu kelemahan yang aku akui sangat sukar untuk aku atasi. Sedayaku untuk mengubahnya. Belum lagi jika aku diuji dengan kerjaya dan rumah tangga pada masa hadapan. Adakah mampu aku lakukan seperti mana mereka lakukan kepada diriku?
Tiada apa yang aku mampu berikan kepada mereka. Apa yang aku mampu janjikan ialah selagi diri ini bernafas, selagi itulah akan aku tunaikan tanggungjawabku kepada mereka. Jika ditakdirkan Allah mengambil diriku terlebih dahulu, aku harapkan doa dan didikan mereka mampu untuk melindung aku dari seksaan mungkar dan nangkir di kubur nanti. Aku sedar tanggungjawabku sangat besar kepada mereka. Seperti kata-kata Allah dalam surah Luqman ayat 14:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”
Akhir kalam, hargailah ibu bapa kita selagi mereka masih hidup dan aku sentiasa berdoa supaya aku diberikan ruang dan pelung untuk melaksanakan sepenuh tanggungjawabku kepada mereka tanpa sebarang balasan. Insyallah. wallahualam
0 comments:
Post a Comment