Tuesday, December 27, 2011

Filem Tidak Ditapis: Kerajaan Malaysia Jangan Bersikap Lepas Tangan

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam telah menyatakan bahawa Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak lagi akan menapis filem sebelum ditayangkan, tetapi ia diserahkan sepenuhnya kapada pengarah dan penerbit filem itu sendiri. Hal ini berdasarkan kenyataan beliau di akhbar Sinar pada 22 Disember yang lalu. Dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan bahawa langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara. Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem berkenaan perlu bertanggungjawab.


Respon PMUKM

PMUKM melalui Pengerusi Biro Sukan dan Kebudayaannya, Muhammad Harith menyifatkan tindakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tidak lagi menapis filem-filem yang ingin ditayangkan adalah tidak wajar dan tidak tepat pada kondisi akhlak anak-anak muda yang membinmbangkan ketika ini.

“Saya mewakili pihak PMUKM dan warga UKM amnya, secara totalnya menolak langkah terbaru daripada LPF untuk tidak menapis filem-filem baru dan kami mendesak supaya LPF menarik balik langkah tersebut bagi mengelakkan pengaruh-pengaruh negatif daripada terus menular. Apa jaminan daripada LPF bahawa pengarah dan penerbit filem akan mempunyai sikap bertanggungawab dalam apa yang telah dipertontonkan? Sedangkan asbab utama mereka hanya meraih keuntungan daripada filem yang ditayangkan. Tatkala moral dan akhlak masyarakat terutama anak muda  yang semakin kritikal, keputusan ini seolah-olah mencurahkan minyak kedalam api dan kerajaan Malaysia amnya tidak boleh bersikap lepas tangan tentang perkara ini” katanya

Beliau juga berkata, pihak PMUKM melihat kesan jangka masa panjang terhadap masyarakat terutamanya aspek nilai kehidupan murni, moral dan keagamaan. Sehubungan itu, pihak PMUKM sekali lagi menyatakan pendirian supaya keputusan ini dikaji semula oleh pihak LPF dan Kerajaan Malaysia amnya bagi melahirkan bangsa Malaysia yang lebih baik pada masa akan datang.

“Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti”

sumber: http://mpmharith.blogspot.com

Friday, December 2, 2011

Didiklah Jiwa Agar Sentiasa Ikhlas dan Redha




“Allah maha berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 1-2)

Menyingkap maksud firman Allah itu, manusia sentiasa akan diuji dengan kebaikan dan kesulitan. Segala perkara atau peristiwa berlaku dengan izin dan kehendak Allah. Bagi Allah segala-galanya adalah kebaikan untuk hambanya.


Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau buruk kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Allah sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar.” (Maksud al-Hadis)
Setiap detik kehidupan kita perlu meyakini bahawa kita berada dalam ujian Allah sehingga roh bercerai daripada badan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah maha mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta,” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
 
Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara dan peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat.

Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat melihat melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman. Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati.” (Surah al-Haysr, ayat 2)
Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana hujan yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan bagi tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah yang akan menyuburkan pokok serta tanaman mereka.


Begitulah kepelbagaian ragam dan persepsi dalam kehidupan. Segala penentuan Allah diterima dengan persepsi berbeza antara satu sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa perkara seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang.


Orang beriman sentiasa reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang kerana mereka berfikir secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap peristiwa.


Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan hidup, bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah.

Panduan berikut boleh dijadikan pedoman untuk mendidik diri menerima sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati.


Bersyukur kepada Allah dan membilang nikmatnya


Kita beriman bahawa Allah tetap memberi nikmat di dunia kepada semua hamba-Nya. Apabila kita mendapat nikmatnya kita bersyukur dan mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Allah sudah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin.” – (Surah Luqman, ayat 20)
“Dan jika kalian menghitung nikmat Allah nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya.” (Surah Ibrahim, ayat 34)
Nabi Sulaiman yang dikurniakan kerajaan dan kekayaan berkata:
“Ini termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur nikmat.” (Surah an-Namlu, ayat 20)

Syukur bukan setakat mengucapkannya tetapi kita perlu zahirkan kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk perbuatan


Musibah menghapuskan dosa


Kita menerima musibah dengan positif untuk menyedarkan kita supaya menilai kembali tingkah laku. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Musibah dapat melenyapkan dosa yang dilakukan .

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan dosanya.” (Maksud al-Hadis)
Bersabar tanda kemenangan

Allah mendidik kita supaya menerima sesuatu dengan reda dan sabar kerana Allah bersama dengan orang yang sabar. Orang yang bersabar akan mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat.” (Surah al-Hadid, ayat 23)

 
Berdoa dan memohon pertolongan hanya kepada Allah


Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah ketika senang nescaya Allah akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan jadikan berdoa para nabi sebagai panduan.


Bayangkan bagaimana pasrah dan khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting. Kita juga tahu Allah memakbulkan doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa memohon pertolongan Allah ketika dibakar dalam unggun api yang marak menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa yang cemas ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus dalam perut ikan.


Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap perkara akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup yang penuh pancaroba.Wallahualam



sumber: iluvislam.com

Sunday, November 27, 2011

Bukan Sekadar Pindah



Di sebaliknya terselit peristiwa suka dan duka. Perjalanan seorang manusia agung menempuh jalan dakwah penuh duri bersama hati sahabat-sahabat yang setia, hati-hati yang tidak gentar kepada selain Allah, jasad-jasad yang tidak ketar mendepani musuh.

Ya Allah, andai aku dilahirkan pada saat dan zaman itu, adakah aku mampu sekental mereka? Atau aku langsung berpaling ke arah kekufuran?? Maha Suci Allah, aku dilahirkan di sini, pada waktu dan ketika ini. Aku dilahirkan pada akhir zaman yang jalan dakwahnya tidak seperit dan sesakit dulu. Kerana Allah tahu kemampuanku. Hijrah mereka hijrah teragung, penuh keazaman dan tawakal kepada Allah.

Lantas aku teringat, penyiksaan yang mereka lalui tidak sedikit pun menyalakan api dendam dan kebencian pada jiwa Rasulullah s.a.w terhadap orang-orang yang pernah memusuhi baginda. Dalam peristiwa Fathul Makkah, baginda Rasulullah adalah Duta Keamanan. Kata baginda sebelum memasuki Kota Makkah,

“Barangsiapa memasuki rumah Abi Sufian maka ia aman , barangsiapa memasuki al Kaabah maka ia aman , barangsiapa memasuki Masjidil haram maka ia aman , barangsiapa memasuki rumah Hakim ibn Hizam maka ia aman dan barangsiapa mengunci pintu rumahnya maka ia aman.”

Baginda menawarkan keamanan hatta kepada manusia-manusia yang pada satu ketika pernah memulaukan dan mengusir baginda dan pengikutnya keluar dari Makkah, kota kecintaan baginda. Besarnya kemaafan baginda.

Aku berfikir sejenak. Andai Rasulullah hadir menjenguk umatnya pada akhir zaman, ke mana mahu ku sorokkan raut mukaku? Kerana pada zaman ini, aku menyaksikan keamanan yang makin hilang, kebencian yang makin menyala, persaudaraan yang makin jauh hampir tiada makna. Ke mana pergi ad-Din dalam jiwa umat Muhammad? Dan aku, berada di tengah-tengah golongan itu, terhimpit dengan rasa malu dan hiba.



Hijrah bukan sekadar sambutan, bukan sekadar berpindah, dan bukan sekadar tahun baru dengan azam yang baru. Ianya lebih dari itu.

Aku sentiasa mengimpikan suatu penghijrahan umat Islam yang entah bila akan berlaku. Suatu perubahan yang bakal memaksimumkan kekuatan ummah. Iaitu dengan bersatunya seluruh Muslim membina dunia yang baru, mencipta sejarah yang baru. Wallahualam.

Saturday, November 19, 2011

Kita Merantau dan DiPantau

Jauh sekali kita berjalan, mencari harapan cahaya yang sering dinanti-nanti. Dan apabila ia semakin lambat untuk dikecapi, kita merasa nasib kita tidak adil. Merungut keseorangan sambil menekan-nekan keyboard untuk diluahkan ke dalam alam dunia facebook tanpa kita menghiraukan sedikit pun tentang asal usul kejadian seorang hamba yang bertakwa.

Aku hari ini ingin membawa satu kisah yang sering terjadi acap kali dalam kehidupan seorang hamba Allah.



Setiap hari, hamba Allah ini yang sangat taat pada perintah Tuhannya selalu berdoa pagi dan petang, meminta sesuatu yang sangat diharapkan dalam kehidupannya ketika merantau. Beliau berdoa agar Allah memakbulkan segala permintaanya..

Hari demi hari, masa terus berlalu meninggalkan kisah hari-hari yang berlaku bertahun lamanya..Lantas, hamba Allah ini terasa sangat bersedih..Namun, beliau tidak berputus asa untuk sentiasa berdoa kerana dia yakin bahawa Allah akan senantiasa memperkenankan doa hamba-hambaNya..

Pada satu saat ketika beliau sedang duduk berzikir di dalam masjid, datang seorang sahabat karibnya yang datang untuk solat dan berdoa agar Allah memperkenankan permintaan terbarunya.. Selang beberapa hari kemudian, sahabat karibnya itu mendapat apa yang dihajatkan. Hamba Allah yang taat ini merasa sangat hairan, mengapa sahabatnya yang selalu ponteng solat dan jarang mengikuti apa yang diajar dalam Islam tiba-tiba mendapat apa yang dihajati.

Keajaiban dan kehairanan ini membuatkan hati hamba Allah ini tertarik untuk berjumpa dengan seorang hamba Allah yang alim lalu beliau menceritakan segala isi hatinya kepada orang alim ini.

Dengan bentukan senyuman yang mengukir di wajah orang alim ini, dia bertanya kepada hamba yang taat ini tentang satu persoalan yang sangat ringkas.

"Wahai saudaraku, apakah yang kamu akan lakukan sekiranya datang kepadamu seorang pemuzik jalanan yang suaranya tidak seberapa merdu dan bernyanyi dihadapan rumahmu?"

Lalu, hamba yang taat ini menjawab, " sudah tentu saya akan menyuruh dia berhenti bernyanyi dan memberikan RM 1 serta minta segera beredar ke tempat lain."

"Bagaimana pula sekiranya seorang pemuzik jalanan datang kerumah mu yang mempunyai suara yang merdu untuk meminta derma?" balas orang alim pula.

" Sudah tentu juga saya akan suruh dia menyanyi lebih banyak lagu lagi untuk menghiburkan hati saya, malah saya sanggup memberinya RM50 sebagai balasan," jawap hamba yang taat itu.

Kemudian, orang alim ini menepuk-nepuk dibahunya sambil berkata, " begitu juga dengan kehidupan kita yang merantau dan dipantau. Jika hambaNya berdoa dengan sambil lewa dan ditambah pula tidak taat kepadaNya, sudah tentu Dia tidak mahu mendengar rintihan hambaNya terlalu lama dan terus Dia makbulkan. Tetapi apabila datang seorang hambaNya yang taat meminta doa dengan sepenuh harapan dan diiringi dengan ibadah yang ikhlas kerana cintanya hanya kepada Allah, sudah tentu Dia mahu mendengar suara hambaNya selalu dan lebih lama lagi sebelum Dia memberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang hambaNya hajati."

Hamba yang taat ini tersentak dengan jawapan yang diberikan oleh orang alim itu tadi lantas beliau cepat-cepat beristighfar memohon ampun dan maaf kerana telah berprasangka kepada Tuhannya..


Allah sangat dekat kepada hamba-hambaNya yang taat kepadaNya.


Sunday, November 6, 2011

Seksualiti Merdeka: Perlunya Tafsiran Yang Tepat Soal Hak Asasi dan Kebebasan


Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar petang Khamis yang lalu mengumumkan semua aktiviti berkaitan dengan festival berkenaan yang bakal dilancar oleh bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan pada 9 November ini diharamkan. Bercakap dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur beliau mengarahkan penganjur menghentikan serta merta semua program mereka yang berkaitan dengannya atau berdepan tindakan polis.


Saya sangat bersetuju dengan tindakan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Malaysian terutama pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) bagi mengharamkan penganjuran Seksualiti Merdeka ini. Setelah bantahan daripada NGO-NGO, Jabatan Agama dan majoriti rakyat Malaysia terutamanya, adalah wajar bagi festival ini tidak diteruskan. Penulisan ini ingin saya bawakan hujah dan pandangan mengenai bantahan terhadap festival ini:


1. Antara hujah yang dikemukakan oleh penganjur Seksualiti Merdeka ini adalah mereka merujuk artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan berhimpun, hak bersuara dan sebagainya. Tetapi harus kita lihat pada limitasi agama dan sensitiviti rakyat Malaysia terutama masyarkat melayu amnya tentang budaya lesbian, gay dan perkara songsang yang lain.


2. Perkara lain yang dibangkitkan adalah mereka daripada golongan yang minority dimana suara mereka harus diberikan perhatian oleh umum dan kerajaan khasnya. Namun harus kita fikirkan bahawasanya adakah kita mahukan golongan yang minority ini menjadi golongan yang majority?dan jika ia menjadi reality, adakah ia akan membawa manfaat yang baik dan penyelesaian masalah social yang semakin meruncing dengan kebebasan ini? Fikir-fikirkan…


3. Islam juga mengawal kebebasan seksual bagi menjaga kehormatan keturunan dan ketamadunan manusiawi. Kisah umat Nabi Lut a.s yang diturunkan Allah bala akibat perbuatan songsang mereka boleh dijadikan peringatan untuk kita umat akhir zaman ini seperti apa yang disebut dalam hadis “Dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, dia berkata bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Ertinya : Allah melaknat siapa saja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (beliau mengulanginya sebanyak tiga kali)” [HR Nasa'i dalam As-Sunan Al-Kubra IV/322 No. 7337]”


4. Ini bukan soal Ambiga. Ini bukan soal Marina Mahathir. Kita perlu sedar bahawa rakyat Malaysia menyokong BERSIH 2.0 bukan kerana dua individu ini tetapi tuntutan yang diperjuangkan oleh BERSIH 2.0 untuk pilihan raya yang adil dan telus. Tetapi jika persoalan dalam situasi ini yang membawakan mudarat yang besar kepada generasi Malaysia dan umat Islam khasnya, mengapa harus kita sokong? Bukan siapa yang menjadi persoalannya, tetapi agenda yang patut dipersoalkan.


5. Saya bagi satu analogi mudah jika hujah hak asasi dan kebebasan yang penganjur tekankan. Jika perogol ingin merogol seorang perempuan, adakah hujah hak asasi dan kebebasan “menguruskan” nafsu boleh dijadikan asbab untuk melakukan perkara tersebut(merogol)?sama juga denga pencuri, perasuah dan sebagainya. Saya melihat penganjur seolah-olah membuat tafsiran dan kefahaman sendiri mengenai hak asasi dan kebebasan yang mereka pertahankan.


Justeru itu, penafsiran berkaitan hak asasi dan kebebasan yang betul adalah sangat perlu bagi mengelakkan isu seperti ini berlaku. Seperti kata peribahasa “sudah terantuk baru terngadah”, sudah menjadi barah baru hendak diubati maka ia sudah terlambat. Akhir kata, kembalilah kepada Islam dan laksanakanlah hukum-hukum yang terdapat didalamnya. Wallahualam….


Sunday, October 30, 2011

Jalan Ini, Jalan ku......

dan ingatlah (Wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, ataumengusirmu. mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik Yang menggagalkan tipu daya( al-anfal:30)


jalan ini...jalan ini perlu diteruskan kerana perjuangan pada jalan ini terlalu jauh dan memakan masa yang panjang...

jalan ini...entah dimana pengakhiranya untuk kita...futur atau mati syahid...

jalan ini...mehnah dan tribulasi melingkari urat pernafasan gerakan...merentap nadi kebebasan diri..namun ia bakal menjadi mahar terbesar kala menemui Allah azzawajalla...

jalan ini...penggabungan semangat dan keimanan menjadi menjadi teras jalan ini...batu dan air seperti al-fateh menggungkapkan keazamannya yang kukuh dan lembut dalam memohon ampun kepada Tuhannya....

jalan ini...jalan yang tidak pernah dibiarkan diterjah oleh musuh tanpa pembelaan daripada pencintanya di sepanang zaman...semakin dihimpit,semakkin ramai tampil membela...walaupun terpaksa membayar dengan harga yang mahal....dan jalan ini adalah jalanku!


ingin aku kongsikan kata seorang sahabat...

Sebagai seorang Muslim, kita punya arah, kita punya tujuan, kita punya kompas, kita punya panduan lengkap yang di turunkan kepada kita. Tetapi, pernahkah kita terfikir akan nasib sahabat-sahabat yang tidak lagi disentuhi nikmat iman dan islam? Agaknya, apakah pendulum atau momentum yang menggerakkan roh dan jasad mereka untuk terus melangkah? melihat dan mentafsir kehidupan ini hanya berpaksi dan hanya berlimitasikan kehidupan dunia.


justeru wahai penggerak jalan ini...umat menantikan kita...melepaskan rasa kebergantungan kepada thaghut dan jahiliah moden..tuntas kebergantungan pada Allah...usah hanya bergegar di alam maya tetapi bacul di alam realiti...janganlah gentar berkelana dialam abadi..nun disana fajar sedang memancar......



Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur,di atas tulang-tulangku ini,yang hancur luluh,nyalakanlah obor buat umat ini,dan...teruskan perjalanan ke gerbang jaya
                                 
                                                                           Assyahid Sayyid Qutb




Saturday, October 22, 2011

Karnival Ilmu Anak Muda 2011(KAMU 11) bersama HIMPUN

Wednesday, August 17, 2011

UKM Konvo Lerun MTB Mini Jamboree


Monday, June 27, 2011

BERSIHkan hatimu diri...


Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba.
Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak.
Kadangkala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan.
Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.
Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa.
Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah SWT sedang menduga.
Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya.
Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.
Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadangkala membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadangkala kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis oleh-Nya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuan-Nya? Kadangkala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapan-Nya.
'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '
Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?
Subhanallah. Maha suci Allah!
Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayat-Nya.
Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.

Kenapa semua ini terjadi ??


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah : 216)


Berimankah aku??

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta?" (Al-Ankabut : 2-3)



Kepada siapa harus aku berharap?


"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (At-Taubah : 129)


Moga kita menjadi hamba yang redha dan diredhai-Nya. Dan perkara yang paling penting ingin aku ungkapkan ialah......JOM BERSIH!!! :))






Thursday, June 2, 2011

Seks, Dadah & Alkohol: Gaya Hidup Baru Masyarakat Malaysia

Mengecapi arus kemodenan semasa dan diiringi perubahan gaya hidup yang kian ‘sofistikated’ tidak memungkinkan masyarakat untuk terus berada di takuk lama dalam kehidupan seharian mereka. Kesedaran terhadap keadaan semasa dan sifat keterbukaan terhadap perkara-perkara yang sebelum ini dipandang asing, dianggap sebagai suatu kemajuan yang perlu diwujudkan dalam diri setiap individu. Namun begitu, perubahan fasa yang bagaimana harus dijadikan panduan seantero masyarakat Malaysia?

Menyentuh mengenai gejala sosial yang kian sumbang dek kerana mahukan ‘sesuatu yang baru’ dan bersikap ‘open minded’ maka terhasillah kepercayaan bahawa perkara-perkara yang sebelum ini dianggap janggal perlu diterima pakai oleh kita semua. Tak perlu dilihat jauh-jauh untuk mengenalpasti penyakit yang sedang melanda masyarakat kita hari ini kerana sedar mahupun tidak, seks, dadah dan alkohol semakin hari semakin rancak mendominasi ruang lingkup pemikiran sekaligus meraih perhatian masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa!




Berbekalkan tiga ‘perkara asas’ ini sahaja sudah cukup untuk memporak perandakan kerukunan yang sedia ada lantas mengheret kepada permasalahan yang lebih serius dalam masyarakat. Gaya hidup moden atau up-to-date menjadikan kita lebih terbuka untuk berbicara tentang seks sekaligus mengaplikasikannya ke dalam realiti kehidupan sebenar. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan bilamana perkataan dan perlakuan seks itu dilakukan oleh mereka yang masih berada dibangku sekolah! Buktinya, berapa ramai anak gadis dan anak teruna yang terjebak dengan seks bebas dan bertukar-tukar pasangan dek hasutan hawa nafsu dan didorongi sifat suka sama suka! Bila seks dah jadi perkara biasa, maka yang lain-lain ‘lagi tok sah kata!’

Berbicara pula tentang dadah, ia boleh dikategorikan sebagai isu lapuk yang takkan ada penghujung. Musuh nombor satu negara ini dilihat sebagai ancaman utama yang mengheret kepada cabang masalah sosial yang lain. Isu penyalahgunaan dadah telah memerangkap banyak manusia ke sisi hitam laluan hidup mereka. Bermula dengan suka-suka atau alasan mahu membebaskan diri daripada belenggu ‘problema’ yang dihadapi akhirnya telah menjadikan individu-individu ini terlibat dengan tahap ketagihan yang serius sehingga digelar ‘Mat Pet’ atau ‘Sampah Masyarakat’!

Seterusnya, minuman alkohol mungkin dianggap perkara paling remeh dan terlalu biasa serta tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat secara kasar. Sebagai contoh, gambar panas atau filem panas artis yang berpesta sakan dengan botol minuman alkohol berlambak sana sini sekaligus telah membuktikan keterbukaan mereka terhadap gaya hidup masa kini.  Persoalannya, apa perlunya menunjuk-nunjuk perilaku yang sebegitu rupa? Apa yang cuba disampaikan kepada masyarakat? Adakah mabuk-mabuk atau berada dalam keadaan separuh sedar itu perlu dijadikan fenomena semasa? Sebetulnya, bukan artis sahaja yang terdedah dengan kegiatan yang kurang sihat ini. Orang biasa-biasa lagi berlambak, cuma sebab mereka tak punya tiket sebagai artis maka terlepaslah mereka daripada cakap-cakap negatif!




Ada juga yang berpendapat bahawa mereka yang mengasingkan diri daripada tiga perkara ini sebagai individu yang kolot dan berlagak baik. Hakikatnya tanpa mereka sedari secara perlahan-lahan tiga perkara utama ini akan ‘memakan diri’. Harus diingat bahawa bertukar pasangan sesuka hati, ambil pil dadah untuk menghilangkan tekanan jiwa dan meneguk minuman alkohol demi kepuasan hati, hanyalah keseronokan sementara dan jalan singkat untuk ke ‘syurga’ dunia!

Kepada yang dah dewasa, anda boleh fikir sendiri rasional dan buruk baiknya perkara-perkara di atas. Namun bagi mereka yang masih setahun jagung, bimbingan dan nasihat individu tertentu amatlah digalakkkan. Pihak yang bertanggungjawab tak kiralah, kerajaan ke, ibu bapa ke, guru ke, haruslah bertindak dan mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas kepada berlakunya pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan ketagih seks, dadah dan alkohol.

Bukan persoalan siapa jahat dan siapa baik yang harus jadi pertikaian, namun sejauh mana kita menyedari dan meletakkan diri di laluan sebenar dalam kehidupan. Tak kiralah kita datang daripada keluarga yang punya didikan agama yang kukuh atau tidak kerana apa yang menjadi pokok pangkalnya ialah diri kita sendiri.  Dasar langit terbuka dan kemajuan negara barat memang wajar kita teladani, namun bukan serba serbi harus dikuti. akhir kata..

PASAKKAN  HATIMU KE JALAN YANG DIREDHAINYA..........




Sunday, April 10, 2011

Salam Imtihan dari "engineers"




"...kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kpd
Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yg bertawakkal." (Al-Imran:159)

Allah doesn't require you to be the BEST
He just want you to do your BEST
and He'll take care of the rest..insyaAllah
ALL THE BEST to all of us!Allah doesn't require you to be the BEST
He just want you to do your BEST
and He'll take care of the rest..insyaAllah
ALL THE BEST to all of us!

SALAM IMTIHAN BUAT SEMUA..(^_^)V

p/s: pic diatas style student engineering stdy..dont try this at home!


Tuesday, March 29, 2011

Mencari Ainul Mardhiah

Sebuah kisah....

‘Ainul Mardhiah (mata yang diredhai) merupakan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari-bidadari yang lain. Suatu pagi ketika nabi memberi kata-kata semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah, katanya siapa-siapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia shahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari2 syurga. Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut…. tetapi dia malu nak bertanyakan kepada nabi kerana malu pada sahabat-sahabat yang lain.

Namun dia tetap beri nama sebagai salah sorang yang akan keluar/pergi. Sebelum Zohor sunnah nabi akan tidur sebentar (dipanggil khailulah, maka sahabat yang muda tadi juga turut bersama jemaah tadi… tidur bersama-sama)

Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri2 lalu ditanyanya di manakah dia… lalu lelaki itu menjawab inilah syurga. Lalu dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan ‘Ainul Mardhiah… lalu ditunjuknya di suatu arah maka berjalan dia… di suatu pepohon beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia lihat kecantikan begitu… tak pernah dilihat didunia ini… lalu diberi salam dan dia bertanya andakah ainul mardhiah… wanita itu menjawab ehh tidakk… saya khadamnya ainul mardhiah ada di dalam singgahsana sana.

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai…lalu diberi salam dan di tanya lagi adakah dia ainul mardiah lalu wanita itu menjawab…eh tidakkk saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini…ainul mardiah ada di atas mahligai sana,….. lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu kecantikkannya sungguh mengkagumkan. .. lalu dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua…. dan tak pernah dia lihat di dunia…. lalu wanita itu berkata… akulah ainul mardhiah, aku diciptakan untk kamu dan kamu diciptakan untk aku…. bila lelaki itu mendekatinya wanita itu menjawab… nantiii kamu belum syahid lagiiii….. .tersentak itu pemuda itu pun terjaga dari tidurnya lalu dia menceritakan segala-galanya kepada satu sahabat lain, namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada nabi SAW… tapi sekiranya dia shahid barulah ceritakan kepada nabi.

Petang itu pemuda itu bersama-sama dengan jemaah yang terdapat Nabi di dalamnya telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah shahid. Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah nabi). Maka kawan sahabat yang shahid tadi telah bangun dan merapati nabi SAW dan menceritakan perihal sahabat nabi yang syahid tadi… dalam menceritakan itu nabi menjawab benar… benar…benar. .. dalam sepanjang cerita tersebut.

Akhirnya nabi SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga….subhanallah

p/s: going for it! insyallah...


Tuesday, March 15, 2011

Pesanan kepada yang bergelar PEMIMPIN



"Wahai Amirul Mukmini, Tuhan memberi amanah kepada khalifah bagi meluruskan segala yang bengkok, membaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, membela mereka yang teraniaya, dan menjadi penolong mereka yang terlantar.


Wahai Amirul Mukminin, ketua negara yang adil ibarat gembala yang sayang kepada haiwan-haiwan ternakannya, menghantarnya ke tempat yang selamat serta jauh daripada bahaya, mengawalnya daripada gangguan binatang buas serta melindunginya daripada kepanasan dan kedinginan. Khalifah yang adil, wahai Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang arif bijaksana pada anak-anaknya. Apa yang dilakukan demi kebaikan mereka, mengajarnya menjadi orang yang berguna, bekerja keras membanting tulang untuk ahli keluarganya serta meninggalkan peninggalan yang berharga buat mereka apabila meninggal dunia kelak.


Ketua negara yang adil itu, wahai Amirul Mukminin, ibarat seorang ibu yang berkasih sayang serta bersikap lemah lembut kepada anak-anaknya. Dia rela mengandungkannya dengan bersusah-payah, kemudian mengasuhnya ketika bayi. Dia sanggup berjaga malam selagi anaknya tidak tidur dan perasaannya baru lega dan tenang selapas anaknya tenang dan tidur lena. Kemudian dia menyusukan anaknya ketika haus dan gembira apabila anaknya sihat dan berdukacita apabila anaknya sakit.

Ketua negara yang adil, dia berdiri antara Tuhan dengan hamba-Nya. Dia mendengarkan firman Allah kemudian menyampaikan kepada rakyatnya. Dia patuh kepada perintah Tuhan kemudian mengajak rakyatnya supaya turut mematuhi-Nya. Kerana itu, wahai Amirul Mukminin, dengan kuasa yang dikurniakan Tuhan kepada kamu, jangan jadi seperti budak suruhan yang diberi amanah oleh tuannya bagi menjaga keluarga dan harta bendanya, kemudian dia khianat serta melakukan sewenang-wenangnya hingga harta itu habis dan majikannya menjadi marah.


Ketahuilah wahai Amirul Mukminin, Tuhan menggariskan panduan hidup melalui kitab Al-Quran dan lidah Rasulullah supaya manusia menjauhkan diri daripada kejahatan. Tetapi bagaimana sekiranya yang melanggar peraturan itu orang yang sepatutnya menjadi pelaksana hukuman itu? Tuhan menjadikan hukum qisas sebagai jaminan kehidupan para hamba-Nya. Tetapi bagaiman apabila orang yang jadi pemimpin itu adalah orang yang seharusnya dituntut bagi menjatuhkan hukuman itu?


Wahai Amirul Mukminin, sentiasa ingat akan mati dan apa yang terjadi selepas mati. Ketika itu kamu tidak ada pembela selain amal ibadat kamu. Kerana itu, bersiap sedialah menghadapinya dan jadikan perkara itu masalah besar bagimu. Ingatlah pada hari di mana seseorang itu melarikan diri daripada saudaranya, ibu bapanya serta isteri dan anak-anaknya. Wahai Amirul Mukminin, jangan kamu menghukum hamba Allah dengan hukuman orang yang jahil. Janganlah bawa mereka itu di jalan yang dilalui orang zalim. Jangan kamu beri kesempatan pada orang sombong yang berkuasa ke atas orang yang lemah.


Wahai Amirul Mukminin, janganlah kamu memandang pada kedudukan kamu pada hari ini, tetapi pandanglah kedudukan kamu pada hari esok di mana kamu terbelenggu dalam cengkaman maut, kemudian berdiri di hadapan Allah di tengah kelompok para malaikat, para nabi dan rasul.


Akhir kata, wahai Amirul Mukminin Khalifah Umar bin Abdul Aziz, meskipun nasihat yang saya berikan ini tidak sebaik nasihat para cendikiawan, namun saya setulus hati sayang dan cinta kepadamu. Saya mengirim surat ini laksana orang yang memberikan ubat kepada kekasihnya, yang menuangkan ubat yang pahit dengan harapan orang yang dikasihinya sihat. Selamat atasmu, wahai Amirul Mukminin, semoga Tuhan memberi rahmat dan berkatNya kepadamu. Amin."


Khalifah Umar Abdul Aziz sering membaca surat daripada Hasan Al-Basri. Beliau juga selalu membacanya di hadapan menteri dan pegawai-pegawainya. Kemudian dia mengajak mereka sama-sama mengambil iktibar daripada nasihat Hasan Al-Basri.

Wednesday, February 23, 2011

pimpinan satu amanah


"Baginda telah bersabda: Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintahadalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin."

Hadith riwayat Bukhari, Muslim, At-Tirmidhi, Abu Dawud dan Ahmad


Alhamdulillah syukur kepada Allah di atas kemenangan ini...terima kasih kepada semua pendokong dan penyokong..ingatlah sahabat2 pimpinan sekalian, kemenangan itu sukar tetapi istiqamah perjuangan selepas kemenangan itu lebih sukar..semoga Allah permudahkan segala urusan kita insyallah..TAKBIR!!





Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates