Thursday, June 2, 2011

Seks, Dadah & Alkohol: Gaya Hidup Baru Masyarakat Malaysia

Mengecapi arus kemodenan semasa dan diiringi perubahan gaya hidup yang kian ‘sofistikated’ tidak memungkinkan masyarakat untuk terus berada di takuk lama dalam kehidupan seharian mereka. Kesedaran terhadap keadaan semasa dan sifat keterbukaan terhadap perkara-perkara yang sebelum ini dipandang asing, dianggap sebagai suatu kemajuan yang perlu diwujudkan dalam diri setiap individu. Namun begitu, perubahan fasa yang bagaimana harus dijadikan panduan seantero masyarakat Malaysia?

Menyentuh mengenai gejala sosial yang kian sumbang dek kerana mahukan ‘sesuatu yang baru’ dan bersikap ‘open minded’ maka terhasillah kepercayaan bahawa perkara-perkara yang sebelum ini dianggap janggal perlu diterima pakai oleh kita semua. Tak perlu dilihat jauh-jauh untuk mengenalpasti penyakit yang sedang melanda masyarakat kita hari ini kerana sedar mahupun tidak, seks, dadah dan alkohol semakin hari semakin rancak mendominasi ruang lingkup pemikiran sekaligus meraih perhatian masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa!




Berbekalkan tiga ‘perkara asas’ ini sahaja sudah cukup untuk memporak perandakan kerukunan yang sedia ada lantas mengheret kepada permasalahan yang lebih serius dalam masyarakat. Gaya hidup moden atau up-to-date menjadikan kita lebih terbuka untuk berbicara tentang seks sekaligus mengaplikasikannya ke dalam realiti kehidupan sebenar. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan bilamana perkataan dan perlakuan seks itu dilakukan oleh mereka yang masih berada dibangku sekolah! Buktinya, berapa ramai anak gadis dan anak teruna yang terjebak dengan seks bebas dan bertukar-tukar pasangan dek hasutan hawa nafsu dan didorongi sifat suka sama suka! Bila seks dah jadi perkara biasa, maka yang lain-lain ‘lagi tok sah kata!’

Berbicara pula tentang dadah, ia boleh dikategorikan sebagai isu lapuk yang takkan ada penghujung. Musuh nombor satu negara ini dilihat sebagai ancaman utama yang mengheret kepada cabang masalah sosial yang lain. Isu penyalahgunaan dadah telah memerangkap banyak manusia ke sisi hitam laluan hidup mereka. Bermula dengan suka-suka atau alasan mahu membebaskan diri daripada belenggu ‘problema’ yang dihadapi akhirnya telah menjadikan individu-individu ini terlibat dengan tahap ketagihan yang serius sehingga digelar ‘Mat Pet’ atau ‘Sampah Masyarakat’!

Seterusnya, minuman alkohol mungkin dianggap perkara paling remeh dan terlalu biasa serta tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat secara kasar. Sebagai contoh, gambar panas atau filem panas artis yang berpesta sakan dengan botol minuman alkohol berlambak sana sini sekaligus telah membuktikan keterbukaan mereka terhadap gaya hidup masa kini.  Persoalannya, apa perlunya menunjuk-nunjuk perilaku yang sebegitu rupa? Apa yang cuba disampaikan kepada masyarakat? Adakah mabuk-mabuk atau berada dalam keadaan separuh sedar itu perlu dijadikan fenomena semasa? Sebetulnya, bukan artis sahaja yang terdedah dengan kegiatan yang kurang sihat ini. Orang biasa-biasa lagi berlambak, cuma sebab mereka tak punya tiket sebagai artis maka terlepaslah mereka daripada cakap-cakap negatif!




Ada juga yang berpendapat bahawa mereka yang mengasingkan diri daripada tiga perkara ini sebagai individu yang kolot dan berlagak baik. Hakikatnya tanpa mereka sedari secara perlahan-lahan tiga perkara utama ini akan ‘memakan diri’. Harus diingat bahawa bertukar pasangan sesuka hati, ambil pil dadah untuk menghilangkan tekanan jiwa dan meneguk minuman alkohol demi kepuasan hati, hanyalah keseronokan sementara dan jalan singkat untuk ke ‘syurga’ dunia!

Kepada yang dah dewasa, anda boleh fikir sendiri rasional dan buruk baiknya perkara-perkara di atas. Namun bagi mereka yang masih setahun jagung, bimbingan dan nasihat individu tertentu amatlah digalakkkan. Pihak yang bertanggungjawab tak kiralah, kerajaan ke, ibu bapa ke, guru ke, haruslah bertindak dan mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas kepada berlakunya pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan ketagih seks, dadah dan alkohol.

Bukan persoalan siapa jahat dan siapa baik yang harus jadi pertikaian, namun sejauh mana kita menyedari dan meletakkan diri di laluan sebenar dalam kehidupan. Tak kiralah kita datang daripada keluarga yang punya didikan agama yang kukuh atau tidak kerana apa yang menjadi pokok pangkalnya ialah diri kita sendiri.  Dasar langit terbuka dan kemajuan negara barat memang wajar kita teladani, namun bukan serba serbi harus dikuti. akhir kata..

PASAKKAN  HATIMU KE JALAN YANG DIREDHAINYA..........




1 comments:

mentari senja said...

walaupun kita mgkn terasing dlm perkara2 seperti ini,dn mgkn dktakan kolot, nmun dsisi Allah org2 yang mengasingkan diri dr perkara2 seperti inilah yg ttap mulia dsisiNYA,insyaAllah...maka beruntunglah bg sesiapa yg ASING itu....~biar asing d mata dunia, jangan sesekali tersisih dr kasihNYA~~

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates