Tuesday, March 15, 2011

Pesanan kepada yang bergelar PEMIMPIN



"Wahai Amirul Mukmini, Tuhan memberi amanah kepada khalifah bagi meluruskan segala yang bengkok, membaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, membela mereka yang teraniaya, dan menjadi penolong mereka yang terlantar.


Wahai Amirul Mukminin, ketua negara yang adil ibarat gembala yang sayang kepada haiwan-haiwan ternakannya, menghantarnya ke tempat yang selamat serta jauh daripada bahaya, mengawalnya daripada gangguan binatang buas serta melindunginya daripada kepanasan dan kedinginan. Khalifah yang adil, wahai Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang arif bijaksana pada anak-anaknya. Apa yang dilakukan demi kebaikan mereka, mengajarnya menjadi orang yang berguna, bekerja keras membanting tulang untuk ahli keluarganya serta meninggalkan peninggalan yang berharga buat mereka apabila meninggal dunia kelak.


Ketua negara yang adil itu, wahai Amirul Mukminin, ibarat seorang ibu yang berkasih sayang serta bersikap lemah lembut kepada anak-anaknya. Dia rela mengandungkannya dengan bersusah-payah, kemudian mengasuhnya ketika bayi. Dia sanggup berjaga malam selagi anaknya tidak tidur dan perasaannya baru lega dan tenang selapas anaknya tenang dan tidur lena. Kemudian dia menyusukan anaknya ketika haus dan gembira apabila anaknya sihat dan berdukacita apabila anaknya sakit.

Ketua negara yang adil, dia berdiri antara Tuhan dengan hamba-Nya. Dia mendengarkan firman Allah kemudian menyampaikan kepada rakyatnya. Dia patuh kepada perintah Tuhan kemudian mengajak rakyatnya supaya turut mematuhi-Nya. Kerana itu, wahai Amirul Mukminin, dengan kuasa yang dikurniakan Tuhan kepada kamu, jangan jadi seperti budak suruhan yang diberi amanah oleh tuannya bagi menjaga keluarga dan harta bendanya, kemudian dia khianat serta melakukan sewenang-wenangnya hingga harta itu habis dan majikannya menjadi marah.


Ketahuilah wahai Amirul Mukminin, Tuhan menggariskan panduan hidup melalui kitab Al-Quran dan lidah Rasulullah supaya manusia menjauhkan diri daripada kejahatan. Tetapi bagaimana sekiranya yang melanggar peraturan itu orang yang sepatutnya menjadi pelaksana hukuman itu? Tuhan menjadikan hukum qisas sebagai jaminan kehidupan para hamba-Nya. Tetapi bagaiman apabila orang yang jadi pemimpin itu adalah orang yang seharusnya dituntut bagi menjatuhkan hukuman itu?


Wahai Amirul Mukminin, sentiasa ingat akan mati dan apa yang terjadi selepas mati. Ketika itu kamu tidak ada pembela selain amal ibadat kamu. Kerana itu, bersiap sedialah menghadapinya dan jadikan perkara itu masalah besar bagimu. Ingatlah pada hari di mana seseorang itu melarikan diri daripada saudaranya, ibu bapanya serta isteri dan anak-anaknya. Wahai Amirul Mukminin, jangan kamu menghukum hamba Allah dengan hukuman orang yang jahil. Janganlah bawa mereka itu di jalan yang dilalui orang zalim. Jangan kamu beri kesempatan pada orang sombong yang berkuasa ke atas orang yang lemah.


Wahai Amirul Mukminin, janganlah kamu memandang pada kedudukan kamu pada hari ini, tetapi pandanglah kedudukan kamu pada hari esok di mana kamu terbelenggu dalam cengkaman maut, kemudian berdiri di hadapan Allah di tengah kelompok para malaikat, para nabi dan rasul.


Akhir kata, wahai Amirul Mukminin Khalifah Umar bin Abdul Aziz, meskipun nasihat yang saya berikan ini tidak sebaik nasihat para cendikiawan, namun saya setulus hati sayang dan cinta kepadamu. Saya mengirim surat ini laksana orang yang memberikan ubat kepada kekasihnya, yang menuangkan ubat yang pahit dengan harapan orang yang dikasihinya sihat. Selamat atasmu, wahai Amirul Mukminin, semoga Tuhan memberi rahmat dan berkatNya kepadamu. Amin."


Khalifah Umar Abdul Aziz sering membaca surat daripada Hasan Al-Basri. Beliau juga selalu membacanya di hadapan menteri dan pegawai-pegawainya. Kemudian dia mengajak mereka sama-sama mengambil iktibar daripada nasihat Hasan Al-Basri.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates